CARTA ORGANISASI UNIT KOKURIKULUM 2019

CARTA ORGANISASI UNIT KOKURIKULUM 2019

Sunday, 2 April 2017

Kertas Cadangan Majlis Anugerah Sukan Dan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Padang Terap Tahun 2017


KERTAS CADANGAN
MAJLIS ANUGERAH SUKAN DAN KOKURIKULUM
SEKOLAH KEBANGSAAN PADANG TERAP  TAHUN 2017

1.0 TUJUAN
Kertas cadangan ini bertujuan untuk mendapatkan persetujuan perlantikan Jawatankuasa Pelaksana dan memohon kelulusan menggunakan peruntukan bagi menjayakan Majlis Anugerah Sukan dan Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Sekolah Kebangsaan Padang Terap Tahun 2017.

2.0 PENGENALAN
Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum Peringkat Sekolah Kebangsaan Padang Terap merupakan satu majlis penganugerahan kepada murid -murid yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam aktiviti Sukan dan Kokurikulum. Penganugerahan ini juga untuk para guru-guru yang terlibat dalam pengurusan Sukan & Kokurikulum, dan memberi pengiktirafan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu pembangunan Sukan dan kokurikulum SK Padang Terap. Majlis seumpama ini amat perlu diadakan pada setiap tahun bagi mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan serta sumbangan semua pihak di dalam memartabatkan bidang sukan dan kokurikulum SKPT. 

3.0 MATLAMAT
Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid sekolah dan pemimpin kokurikulum yang aktif dan cemerlang dalam bidang Sukan dan Kokurikulum di peringkat daerah,  negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pengiktirafan dan penghargaan ini sekaligus dapat membina keyakinan diri untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

4.0 OBJEKTIF
4.1 Memberi pengiktirafan kepada murid-murid, sekolah dan pemimpin Sukan dan Kokurikulum yang cemerlang di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. 
4.2 Menggalakkan penyertaan murid-murid dan guru-guru serta semua pihak dalam kegiatan Sukan dan Kokurikulum sehingga ke peringkat yang tinggi.
4.3 Mewujudkan penyelarasan dan penyeragaman penganugerahan Sukan dan Kokurikulum di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. 
4.4 Menyemarakkan daya saing yang sihat dalam kalangan murid-murid, guru-guru di sekolah dalam menempatkan diri dalam pasukan elit sekolah.


5.0 STRATEGI PERLAKSANAAN
5.1 Menubuhkan Jawatankuasa Program Pembangunan Sukan Sekolah dengan keahlian terdiri daripada guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Pihak JKKK Kampung dan Masyarakat Setempat. 

5.2 Membentuk jawatankuasa pelaksana Majlis Anugerah Sukan dan Kokurikulum untuk melancarkan pelaksanaan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Padang Terap.

5.3 Mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Pihak JKKK Kampung, agensi-agensi swasta daripada segi nasihat, kewangan dan kemudahan dalam menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum.


6.0 KONSEP MAJLIS ANUGERAH SUKAN DAN KOKURIKULUM
6.1 Anugerah ini diberi kepada murid-murid, pasukan di sekolah dan pihak pengurusan iaitu guru-guru  yang telah disahkan dan terbukti memperolehi pencapaian yang cemerlang dalam bidang Sukan dan kokurikulum dalam kategori tertentu dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Peringkat Sekolah.

6.2 Bidang sukan dan kokurikulum ini bermaksud sebarang kegiatan badan beruniform, kegiatan kelab & persatuan, Sukan Permainan, 1Murid 1Sukan, kegiatan sukan dan kegiatan koakademik 

6.3 Anugerah guru/pemimpin khusus (individu bukan murid) yang disahkan cemerlang dan telah menunjukkan perkhidmatan yang lama dalam bidang pengurusan dan kepimpinan kokurikulum.

6.4 Konsep majlis adalah berkonsep majlis santai sambil menikmati makan malam. Semua guru, murid terlibat dan jemputan akan duduk di meja bulat Dewan Perdana SKPT.


7.0 KATEGORI ANUGERAH 
Guru dan murid yang terbaik layak dicalonkan sebagai lima senarai calon akhir dalam setiap kategori anugerah. Senarai anugerah adalah seperi berikut :-

1 Atlit Terbaik (Murid Lelaki)
2 Atlit Terbaik (Murid Perempuan)
3 Atlit Harapan Terbaik (Murid Lelaki)
4 Atlit Harapan Terbaik (Murid Perempuan)
5 Murid Terbaik Ko-Akademik (Murid Lelaki)
6 Murid Terbaik Ko-Akademik (Murid Perempuan)
7 Murid Terbaik Kokurikulum (Murid Lelaki)
8 Murid Terbaik Kokurikulum (Murid Perempuan)
9 Tokoh Murid Kokurikulum (Murid Lelaki)
10 Tokoh Murid Kokurikulum (Murid Perempuan)
11 Pasukan Terbaik (Murid Lelaki)
12 Pasukan Terbaik (Murid Perempuan)
13 Pengurus Pasukan Terbaik (Guru Lelaki)
14 Pengurus Pasukan Terbaik (Guru Perempuan)
15 Jurulatih Terbaik (Guru Lelaki)
16 Jurulatih Terbaik (Guru Perempuan)
17 Tokoh Guru Kokurikulum (Guru Lelaki)
18 Tokoh Guru Kokurikulum (Guru Perempuan)
19 Unit Beruniform Terbaik (Guru Pemimpin)
20 Kelab Persatuan Terbaik (Guru Kelab Persatuan)
21 Sukan Permainan Terbaik (Guru Sukan permainan)
22 Pengisian PAJSK Terbaik (Guru Kelas Tahap 2) Pertama – Ketiga
23 Anugerah Khas (Sumbangan / Jawatan Khas)
24 Amugerah Penderma Budiman (Para Penyumbang)


8.0 KRITERIA DAN SYARAT PEMILIHAN
a. Untuk Kategori Murid dan Guru, Semua calon mestilah terdiri daripada warga Sekolah Kebangsaan Padang Terap.

b. Pemilihan akan berdasarkan pencapaian tertinggi dan penyertaan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa untuk tahun semasa anugerah sahaja. 

c. Bagi Anugerah Cemerlang bidang Kokurikulum, calon mestilah berdasarkan pengurusan bidang kokurikulum yang baik, kehadiran dan penyertaan kokurikulum di peringkat sekolah, penyertaan yang aktif dan mempunyai pencapaian murid di peringkat daerah daerah, negeri, kebangsaan atau sehingga ke peringkat antarabangsa.

d. Bagi Anugerah Badan Beruniform Terbaik, Kelab persatuan Terbaik dan Sukan Permainan Terbaik, mestilah berdasarkan pengurusan dan perlaksanaan badan beruniform / kelab persatuan / sukan permainan sepanjang aktiviti kokurikulum 2017. Kecemerlangan dari aspek Buku Laporan Kokurikulum, aspek kehadiran penyertaan guru sewaktu aktiviti kokurikulum setiap minggu. Penyertaan dan pencapaian di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, juga diambil kira sebagai markah bonus bagi setiap badan beruniform / kelab persatuan / sukan permainan.

e. Bagi Anugerah Cemerlang Pengurusan Sukan di kalangan guru-guru, calon hendaklah cemerlang memimpin dan mengurus pasukan dengan cemerlang. Penilaian juga mengambil kira pencapaian tertinggi pasukan guru tersebut di dalam semua peringkat. 

f. Bagi Anugerah Khas Juri, calon dipilih khas berdasarkan sumbangan yang sewajarnya dan tugas khas terhadap perkembangan dan kemajuan sukan dan kokurikulum Sekolah Kebangsaan Padang Terap.

g. Bagi Anugerah Tokoh Kokurikulum, calon sebaik-baiknya mempunyai pencapaian yang paling tinggi atau pencapaian yang menyeluruh dalam semua bidang-bidang yang lain (Sukan, Koakademik & Kokurikulum).

h. Kriteria pemilihan pemenang adalah berdasarkan bilangan pencapaian tertinggi  iaitu peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat negeri dan daerah.

i. Keputusan panel pemilihan adalah mutamad.

9.0  CADANGAN TARIKH / MASA / TEMPAT
Tarikh : 17 November 2017
Masa   : 9.00 malam
Tempat : dewan Perdana SKPT



Read more...

Adik Mohd Hisyam merangkul pingat gangsa di Kejohanan Balapan dan Padang PPKI Peringkat Daerah Padang Terap 2017

Adik Mohd Hisyam bin Hamzah berjaya merangkul pingat gangsa di Kejohanan Balapan dan Padang Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Peringkat Daerah Padang Terap 2017. Adik hisham berjaya mendapat tempat ketiga dalam acara Lontar Peluru Kategori Lelaki (Sindrom Down).





Read more...

Saturday, 1 April 2017

Wall Of Champion SKPT

Perlantikan Roslinda Samsu sebagai Ikon Sukan SK Padang Terap

Perasmian "WALL OF CHAMPION" SK Padang Terap oleh Roslinda Samsu pada 2 Mac 2017.


WALL OF CHAMPION

"Wall Of Champion" diwujudkan hasil cetusan Idea Cikgu Mohamed Faisal (GPK Koku) dalam memartabat sukan SKPT serta menghargai pencapain murid-murid SKPT dalam bidang sukan dan kokurikulum. "Wall of Champion" ini akan dipenuhi oleh gambar-gambar atlit SKPT yang berjaya muncul sebagai JUARA sekurang-kurangnya peringkat MSSD Padang Terap.

Semoga kewujudan "Wall of Champion" ini, ianya dapat memberi suntikan semangat kepada semua murid SK Padang Terap untuk berusaha lebih gigih bagi menempatkan diri sebagai Atlit Sekolah dan seterusnya untuk menjadi seorang JUARA di peringkat Daerah dan peringkat yang lebih tinggi di masa akan datang.



Atlit SKPT pertama yang menempatkan diri pada "Wall Of Champion" selepas pelancaran Wall Of Champion tersebut.

Read more...

Saturday, 11 March 2017

1 Pingat Emas & 2 Pingat Perak di Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Padang Terap 2017


Kontijen Olahraga Sekolah Kebangsaan Padang Terap berjaya merangkul 1 Pingat Emas & 2 Pingat Perak di Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Padang Terap 2017. Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Padang Terap berlansung pada 6- 8 Mac 2017 bertempat di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah.

Pingat Emas disumbang oleh Muhammad Azrien Iskandar (Tahun 4 Patuh) dalam acara Lontar Peluru (Bawah 10 Lelaki) dengan jarak lontaran 6.95 meter. Manakala pingat perak disumbang oleh Mohamad Faiz bin Saad (4 Kasih) dalam acara 100 meter (Bawah 10 Lelaki) dengan catatan masa 15.50 saat dan Muhammad Syakir dalam acara Lompat Tinggi (Bawah 10 Lelaki) dengan ketinggian 1.10 meter.

Tahniah buat semua Atlit SKPT, para Jjurulatih dan seluruh warga SK Padang Terap atas pencapaian di Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Padang Terap 2017.








Read more...

Friday, 3 March 2017

Majlis Perasmian "Wall Of Champions" dan Pelancaran & Perlantikan Roslinda Samsu Ikon Sukan SK Padang Terap.


Syukur Alhamdulillah pada pagi khamis 2 Mac 2017 pihak sekolah mengadakan satu majlis iaitu majlis Majlis perlantikan tetamu khas kita Cikgu roslinda sebagai Ikon Sukan SK Padang Terap dan Perasmian “Wall Of Champions” SK Padang Terap.


Roslinda Samsu adalah bekas atlit lompat bergalah kebangsaan yang pernah mengharunkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa. Dilahirkan pada 9 Jun 1982, gadis berasal dari Kg. Padang Gelanggang, Padang Terap, Kedah ini sebenarnya memulakan kerjaya atlitnya sebagai pelari pecut 100 meter. Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Terap pada tahun 1989 hingga 1994.  Beliau menyertai sukan lompat bergalah ketika menuntut di tingkatan empat Sekolah Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) selepas berpindah dari Jitra ketika menuntut di tingkatan dua Sekolah Menengah Tunku Anum, Jitra.

Roslinda Samsu adalah graduan Universiti Putra Malaysia berkelulusan dalam bidang Ijazah Pendidikan Jasmani. Kini Cikgu Roslinda Samsu adalah tenaga pengajar di Sekolah Sukan Malaysia Pahang. Beliau menjadi jurulatih utama untuk acara lompat bergalah di sekolah sukan tersebut.

Pihak Sekolah Kebangsaan Padang Terap berbesar hati melantik beliau sebagai Ikon Sukan SK Padang Terap. Pihak sekolah sangat berbangga dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Roslinda Samsu kerana sudi datang ke SK Padang Terap bagi berkongsi kejayaan dan memberi motivasi dan semangat buat atlit sekolah dan seluruh warga SK padang Terap. 

Semoga kehadiran Cikgu Roslinda dapat memberi suntikan semangat kepada guru dan semua murid untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kejayaan dalam semua bidang yang kita ceburi khususnya bidang sukan.









Read more...

Monday, 27 February 2017

Roslinda Samsu : Atlit Lompat Bergalah Kebangsaan


"Lompat bergalah memang bukan mudah. Ia memerlukan keberanian kerana kita perlu pandai mengawal larian, lompatan, pergerakan badan dengan menggunakan galah dan yang paling penting, tak takut gayat." Itu saranan jaguh bergalah wanita ini kepada mereka yang ingin menceburi bidang yang dianggap baru di kalangan ahli sukan kaum hawa.

Memang Roslinda memang layak berkata-kata begitu kerana beliau juga `kosong’ pada asalnya tetapi berkat kerajinan berlatih, beliau kini menjadi jaguh dalam acara itu.

Dilahirkan pada 9 Jun 1982, gadis berasal dari Kuala Nerang, Kedah ini sebenarnya memulakan kerjaya atlitnya sebagai pelari pecut 100 meter. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Terap pada tahun 1989 hingga 1994.  Beliau menyertai sukan lompat bergalah ketika menuntut di tingkatan empat Sekolah Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) selepas berpindah dari Jitra walaupun pernah disarankan seorang jurulatih Russia ketika menuntut di tingkatan dua Sekolah Menengah Tunku Anum, Jitra.

Nyata, penghijrahan itu membuahkan hasil apabila Roslinda mencipta kejayaan demi kejayaan baik di arena tempatan mahupun antarabangsa. Penuntut jurusan Pentadbiran Perniagaan Universtiti Putra Malaysia (UPM) ini acap kali mencipta rekod kebangsaan.

Beliau adalah juara bertahan empat kali di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), dan pemenang pingat perak pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar. Dia memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga 2005 Asia di Incheon, Korea Selatan, tetapi hampir terlepas podium pada Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia. Dia juga dapat mencatat pencapaian terbaik peribadinya iaitu 4.20 meter seterusnya merangkul pingat emas pada Kejohanan Olahraga 2007 Asia di Amman, Jordan.

Roslinda mewakili Malaysia di Sukan Olimpik 2008 di Beijing, selepas mencapai tahap kelayakan 4.30 meter. Beliau bertanding dalam lompat bergalah wanita, satu acara yang jelas dikuasai oleh Rusia Yelena Isinbayeva. Roslinda melepasi palang dalam pusingan awal, dengan jarak terbaik 4,30 meter, mengikat kedudukan beliau dengan Australia Alana Boyd, di tempat kelapan bagi kumpulan itu, dan dalam keenam belas keseluruhan.

Read more...

Saturday, 25 February 2017

Kejohanan Balapan dan Padang SK Padang Terap kali ke-41 Tahun 2017


Kejohanan Balapan dan Padang SK Padang Terap Kali ke-41 Tahun 2017 telah diadakan pada hari Khamis 23 Februari 2017. Kejohanan bermula seawal jam 7.30 pagi dimulai dengan Program Senamrobik bersama MILO. 




Kejohanan Balapan dan Padang kali ini dirasmikan oleh En Anwar YDP PIBG SK Padang Terap. Rumah Kuning Muncul Johan Keseluruhan setelah mengumpul 13 Pingat Emas, 4 Pingat Perak dan 7 Pingat Gangsa. Manakala Rumah Merah mengekori rapat muncul naib johan keseluruhan setelah mengumpul 12 Pingat Emas, 9 Pingat Perak dan 10 Pingat Gangsa.


Mohamad Azfar bin Abdul Kadir telah dinobatkan sebagai Olahragawan SKPT 2017, manakala Nur Fitriah dinobatkan sebagai Olahragawati SKPT 2017. Mohamad Syakir & Qaseh Damia masing dianugerahkan sebagai Olahragawan Harapan & Olahragawati Harapan.



Keputusan Keseluruhan :-
Johan Keseluruhan : Rumah Kuning
Naib Johan Keseluruhan : Rumah Merah
Johan Merentas Desa : Rumah Kuning
Johan Sukantara : Rumah Merah
Johan Perbarisan : Rumah Hijau
Naib Johan Perbarisan : Rumah Biru

Olahragawan : Mohamad Azfar Abdul Kadir
Olahragawati : Nur Fitriah
Olahragawan Harapan : Mohd Syakir Zaidi
Olahragawti Harapan : Qaseh Damia

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP